Waktu Solat Hari Ini

Ahad, Mei 11, 2008

Buli siber cabaran baru di sekolah

KOTA BHARU 4 Mei - Kes buli siber yang semakin menular di sekolah merupakan satu lagi cabaran baru bagi warga pendidik dan ibu bapa untuk bekerjasama dalam menangani masalah disiplin di kalangan pelajar.

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Razali Ismail berkata, penyebaran maklumat palsu, tulisan berbentuk cercaan, menghina dan mengugut melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) dan Internet serta rakaman video yang disebarkan di kalangan pelajar boleh memberi kesan emosi terhadap mangsa.

''Ini merupakan masalah disiplin baru di negara ini tetapi ia telah lama berlaku dengan meluas di kalangan pelajar di negara Barat yang mengakibatkan penderaan mental.

''Ia akan memberi kesan yang cukup buruk kepada mangsa apabila keadaan begitu tertekan,'' katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Wacana Ilmu Keguruan anjuran Institut Perguruan Kota Bharu (IPKB) di sini hari ini.

Majlis itu turut dihadiri Pengarah Bahagian Pendidikan Guru, Datin Asariah Mior Shaharuddin; Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Kelantan (JPN), Ismail Md. Noor dan Pengarah IPKB, Salahuddin Abd. Wahab.

Razali menambah, buat masa sekarang, pihaknya belum dapat mengesahkan sejauh mana kes buli siber berlaku di kalangan pelajar tetapi kejadian seumpamanya perlu dikawal.

''Sekarang belum dapat disahkan lagi berapa peratus pelajar terlibat tetapi melalui laporan berita dari luar negara yang menunjukkan kes yang sama memberi kesan begitu memudaratkan. Kita perlu mengawalnya daripada merebak," ujarnya.

Sebagai langkah awal katanya, guru perlu memantau aktiviti pelajar dan lebih mendekati mereka yang mungkin merasa resah dan terancam dalam diam.

''Ibu bapa pula mengingatkan anak-anak agar tidak menyalahgunakan kemudahan teknologi maklumat dan tidak menggunakan kesempatan untuk menjejaskan imej dan memburuk-burukkan rakan sebaya di sekolah," ujarnya.

Terdahulu, dalam ucapannya, Razali memberitahu prestasi pembangunan infrastruktur Kementerian Pelajaran merupakan yang terbaik di kalangan 28 kementerian yang lain.

''Daripada 320 pelan tindakan pembangunan, separuh telah berjaya disempurnakan sejak dua tahun lalu,'' katanya.

Tiada ulasan: